Greatech akan kumpul RM73.05 juta daripada IPO

News 2019-05-13

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Greatech Technology Bhd, penyedia penyelesaian automasi industri, menyasarkan untuk mengumpul RM73.05 juta menerusi tawaran awam permulaannya (IPO), kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Tan Eng Kee.

Daripada jumlah kutipan, RM18 juta akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, aktiviti pembangunan dan pemasaran, RM5 juta untuk perbelanjaan modal serta penyelidikan dan pembangunan dan RM36.55 juta untuk modal kerja.

Sementara itu, baki RM8.5 juta lagi akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan pembayaran perbelanjaan IPO, katanya.

"Kami mahu mengembangkan kehadiran kami dalam pasaran Amerika Syarikat (AS), dan untuk itu, kami akan menubuhkan pejabat, jualan kejuruteraan dan sokongan perkhidmatan di negara itu selain kemudahan yang lebih kecil di China.

"Kami memantau kawasan pantai timur, Arizona dan beberapa kawasan di Lembah Silicon ... (kami harapan dapat memulakannya) pada separuh kedua tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan prospektus syarikat itu di sini hari ini.

Greatech Technology akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd, dengan penawaran 119.75 juta saham, termasuk 18.78 juta saham untuk orang awam yang layak, pada harga IPO sebanyak 61 sen sesaham.

Kumpulan itu dijadual disenaraikan pada 13 Jun, dengan permodalan pasaran sebanyak RM381.86 juta.

Mengenai pemilihan pasaran AS, Tan berkata negara itu sentiasa berada di hadapan dari segi inovasi teknologi dan yakin kadar penganggurannya jauh lebih baik berbanding tempat lain.

"Sebahagian besar daripada peruntukan pengembangan akan digunakan untuk pasaran AS," katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2018, kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM219.58 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM31.72 juta, dengan kira-kira 90 peratus daripada hasil yang diperoleh adalah dari luar negara.

Pendapatan 2017 berjumlah RM93.91 juta, lebih tinggi daripada RM22.7 juta yang dicatatkan pada 2016 dan RM21.39 juta pada 2015.

Tan berkata kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan hasil antara 10 dan 5 peratus tahun ini, disokong oleh projek baharu membabitkan pelanggan baharu dan sedia ada.

Turut hadir menyaksikan pelancaran prospektus itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Datuk Norhalim Yunus, yang percaya trajektori pertumbuhan Greatech Technology yang cemerlang, akan memudahkannya menolak naik prestasi IPO itu ke tahap premium semasa penyenaraian itu.

"Kumpulan itu berada dalam industri yang tepat, iaitu dalam bidang automasi dan robotik, selain solar, yang kini berkembang pesat.

"Saya percaya mereka mempunyai masa depan yang cerah dengan senarai pelanggan yang hebat," katanya.

Kumpulan menerima dana daripada MTDC untuk Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan, Dana Perolehan Teknologi dan Dana Pertumbuhan Perniagaan.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1725796